Tuesday, November 20, 2018

Berjuang demi mimpi

Berjuang demi mimpi mimpi-

Kecil sahaja aku ini di mata mereka. Aku dibuli mental dan jiwa. Sudah beribu kali air mata menitis mengenang halnya diri. Sudah berjuta kali jatuh tersungkur bangun kembali. Demi Ilahi, kerja ini kerana Illah. Tiada daya dan tiada lelah, melainkan cuma hanya untuk Dia.

Sayap aku ini tidak laku untuk terus terbang tinggi. Aku harus mulai dari titik satu. Bertatih dan berdikit. Tiada satu hari yang aku lalu, menjadi jalan pintas untuk aku berjaya. Sekarang, ditakdirkan Tuhan aku punya kerja yang menjamin makan dan minum. Namun, penat dan lelah , perit dan sakit harus saja aku telan. Demimu Tuhan, semata. 

Sikit saja ikhlas yang berbaki. Aku usung segala pedih, bertukar ke tempat baru. Masih menggalas kerja yang sama, cuma dikeliling manusia yang baru, juga batu yang mencucuk langit. Gah. 

Hari pertama menginjak kaki, segalanya dilalu dengan hati yang pasrah. Hanya mahu menyara diri dan keluarga, tiadalah syarat lain melainkan cuma hanya kerana Tuhan.

Namun, tidaklah semudah itu mahu terbang. Tidaklah terus terapung tinggi. Tidaklah pantas membelah bumi. Hakikatnya hidup ini, tidaklah semanis mimpi yang kita bina. 

Dimaki. Dicerca. Diherdik. Sudah kalis diri ini. Di awalnya berjuta titis air mata yang jatuh sudah, mohamad fadzlen menjadi pendengar yang paling setia. Marah aku, tangis aku, dipendam jauh di lakaran hati, yang terluah cuma dengan luahan di balik pintu. Kekuatan aku bertambah, berdikit dikit membiasakan diri. Tuhan tidak kejam. Aku yakin aku mampu, sepertinya segala ini tidaklah pernah menjadi beban, bahkan cuma ujian untuk menambah titik iman di hati.

Kini genap setahun, aku kini sudah sama rata dengan mereka. Hampir. Tidaklah seluruhnya, tapi sekurangnya, aku kini dipercaya mereka, dan pendapat aku kini setaraf mereka. Alhamdulillah. Sabar itu ada hasilnya. Bukan sekadar menunggu tanpa berusaha, bahkan sabar itu beerti berusaha mengawal diri dalam tempoh yang Tuhan beri. 

Tidaklah hebat setanding yang lain,cuma pada aku, inilah tahap yang aku syukuri. Semoga Tuhan hadiahkan segala yang indah, membantu aku untuk kembali terbang, menyembuhkan sayap aku yang pernah patah. Walau aku tahu, aku mungkin tidakkan terbang segirang dahulu, tapi sesungguhnya, sekecil usaha itu yang dinilai dimataNya♥️


Doaku, selalu ada kebahagian, meski aku tidak lagi bisa terbang tinggi.