Friday, March 22, 2019

15 Rejab 1440H


And so, someone turning 26 today.

Dedicated this writing to my man. On behalf the present i forgot to buy beforehand🤣

Suami, masih ingat lagi bila kita mula bertemu?
Berbaju merah, berwajah serius, dalam mesyuarat majlis perwakilan pelatih. Padahal, dah banyak kali kita berjumpa, tapi tak pernah saya endahkan kewujudan awak. Pada saya, lelaki cuma toksik yang akan memporak perandakan emosi dan hati. Maka, tidak mendekat adalah solusi terbaik.

Penat ditahan. Puas sudah air mata berjatuhan. Meminta pada Tuhan, agar dijauhkan dari perkara yang sia sia. Perkenalan kita bermula tanpa bait bait indah khayalan. Tanpa ada luahan cinta dan sayang. Awak begitu sombong dan saya begitu segan. Kita berpisah, jarak dan masa.

3 tahun terpisah.
Tiada kata yang menghubung.
Yang ada cuma harapan yang awak kirimkan.

Masih ingatkan awak pada saat pertama kali kita berjumpa?
Waktu konvokesyen, di dataran berhadapan dewan kuliah, awak menghulur salam dan terpana saya saat itu, seorang wanita berwajah lembut memeluk bahu dan mencium pipi. Awak melangkau akta fikiran saya. Tidak saya bersedia, tapi ketidak sediaan saya itu menambah rasa kagum saya pada diri awak.  Pertama kali bertentang mata dengan keluarga awak, lalu, awak kirimkan harapan untuk bertunang. Dan memperisterikan saya.

Sayang, kisah kita bukan kisah agung yang bisa aku angkat sebagai inspirasi. Cuma, aku lakarkan tinta di medan ini sebagai saksi bahwa aku pernah begitu tulus mencintai seorang lelaki yang kini bergelar suami. Semoga selamanya cinta dibaja dengan begitu indah  hingga saatnya langit dunia runtuh.

Seribu kali aku mencari nyaman di sebalik cinta yang terhampar. Namun aku gagal. Lalu, disaat aku mendongak langit, menadah tangan, seolah angin siul dari kutub utara menjengah kalbu. Sejuk dan menghiburkan. Sungguh, saat kita mencari cinta dengan memandang dari arca dunia, maka satu masa dunia akan menipu dan menjatuhkan kita. Namun yakinlah, saat kita mencari Tuhan untuk kita sandarkan harap, terbuka luas pintu pintu langit yang selalu bersedia menerima doa dari seorang hamba.

Perkahwinan ini, simbol yang Tuhan wujudkan sebagai kata halal untuk 2 jiwa menjadi satu. Ikatan ini, di bai’ah indah kerana Allah, disimpul erat dengan simpulan iman dan taqwa,agar nanti,wangian syurga menjadi aroma dalam baitul muslim yang kita bina.

Suami, seorang isteri tempatnya adalah disisi. Seperti ibunda kita Saidatina Siti khadijah, yang menjadi penyokong setia di saat Nabi Muhammad kelelahan. Seperti Saidatina Aisyah, menjadi teman akrab penghibur Baginda kala kesedihan. Tulusnya kasih seorang isteri, yang meninggalkan keluarga, ibu dan ayahnya, sahabat handainya, hobi dan gaya hidupnya, kerana kini, kaulah satu satunya sahabat tempat meluah rasa, kaulah satu satunya teman untuk diajak berhibur.

Suamiku,
Tiadalah harapan lain yang aku mahu dari perkahwinan kita ini, melainkan cuma satu. Moga kita sama sama semakin dekat dengan Tuhan.

Kerna, aku tahu aku bukan wanita yang solehah. Aku masih mencuba. Setiap saat dan detik, aku cuba menjaga diri, menjaga hati, menjaga lisan. Untuk menjadi hamba yang Allah kasih.

Aku masih malu mahu mengungkap sayang. Hati aku begitu mahu meluah rasa, tapi jadi kelu saat berhadapan. Kerna itu, selalu nota nota ringkas yang aku selit di poket bajumu, atau di cermin meja menjadi perantara.

Dan sehingga saat ini, semoga Tuhan jaga ikatan kita. Semata mata kerna Allah cuma. Dialah Tuhan yang memegang hati, semoga sampai ke Syurga sana, kita disatukan.


Friday, March 15, 2019

Perasaan-



Aku menggapaimu,
dalam setiap mimpi tak terbatas
Aku menggenggammu,
dalam setiap rengkuhan tanganku 
Aku mendekapmu,
dalam setiap butir kehangatan nafasku 

Aku menghirup setiap tetes embun cintamu,
hingga kelabu mewarnai awan di penghujung hari.
Aku menghela setiap nafas rinduku,
agar aku berjalan selalu menuju cakrawala senja
Aku ada disetiap kerdipan matamu,
memberi kesejukan dalam setiap cahaya hatimu 
Aku ada disetiap aliran darahmu,
melarutkan hampa kembali pada dekapan jiwa 

Aku mencintaimu,
seperti angin yang membawa terbang dedaunan rindu
Aku mencintaimu,
seperti hujan yang merinai berpayung mendung.
Aku mencintaimu,
seperti salju mencair di lereng kalbu
Aku mencintaimu,
seperti pelangi melukis langit seusai badai berlalu

Saat ku tak lagi sanggup melangkah,
biarkan mimpi ini menggapaimu 
Saat lantunan hasratku berhenti bermelodi,
biarkan raga ini menjemputmu 

Hingga dikau kusanding kini.