Monday, October 14, 2019

Hujan

Kisah hujan dan aku

Sekarang hujan adalah teman setiaku
Di saat dini hari ia membasah
Dan di remang senja ia menyinggah

Sekarang angin dan ribut teman karibku
Tidak putus asa ia menjengah
Meski terkadang pintuku rapat dan utuh

Ah
Tidakkah kau tahu lumrah hidup begitu
Hujan kan datang saat kau lupa
Bagi membasah kembali hari hari yang kontang

Sekurangya,
Tidaklah kau sunyi memandang langit
Kini kau punya hujan menjadi mozart halwa telinga

Sesekali lebat sesekali renyai.

Entah.
Terkadang angin bertiup begitu damai
Hingga terasa kantuk mulai menjengah

Ah syahira
Masih cuba berpuitis walhal kisahnya cuma tentang hujan.
Bumi metropolitan kini sering dibasah hujan
Tatkala pulang petang tidak lagi kering
Ada sahaja air yang membasah

Maha Suci Allah yang menurunkan hujan
Semoga setiap titis hujan ini senantiasa memberi manfaat.

Dan,
Jikalau sudi,
Titipkan doa buat seorang Nur Syahira.
Yang sedang membina jati diri seorang Sayyidatina Fatimah.
Semoga,
Bisa dia berjalan di belakang Sayyidatina Fatimah saat meniti titian sirat.
Amin amin ya Rabb♥️

Sunday, October 13, 2019

Sebuah keberadaan

Makin bertambah usia, makin terasa kecilnya bilangan kawan kawan yang ada. Benarlah kata orang, harga sebuah kedewasaan itu terlalu mahal.

Ada yang pergi membawa diri, dan tak kurang yang pergi kerana tanggungjawab. Bahkan juga ada yang pergi kerana panggilan Ilahi.

Bermusim usia, pelbagai mehnah sudah aku redah. Dan aku yakin, aku belum begitu matang untuk memaknai sebuah kehidupan. Aku sendiri masih bertatih. Mahu membina diri sekental titanium.

Dan kini, aku juga tidak lagi terlalu meminta akan sebuah keberadaan. Aku tidak lagi berharap mereka yang kini pernah ada membersamai aku dalam sebuah perjalanan, akan selalu ada.
Hidup lebih tenang begitu. Jika kita sering pasakkan dalam hati bahwa yang ada akan tiada, kita akan lebih mudah melepaskan. Bukankah hidup ini sementara, dan kita akan sering disapa dengan pemergian.

Dan di akhirnya, apa yang tinggal untuk kita usahakan adalah dengan menghargai mereka yang masih ada. Berharap semoga kita menjadi sebahagian manfaat yang akan menjadi bekal amal jariah.

Untuk yang pernah ada menghias kenangan hidup aku, terima kasih. Hidup ini memang begitu. Terkadang kita perlu mengucapkan selamat tinggal hanya untuk sesuatu yang belum tentu membahagiakan. Tapi itulah cabaran menjadi dewasa. Segalanya tergantung di bahu sendiri.

Saat menaip setiap baris, terasa sebak pula.Ironi.


Saturday, October 12, 2019

Aku versi 13.0

Sudah terlalu sering mahu kembalikan segala memori yang pernah wujud menjadi tulisan, namun kini sedang berperang dengan perasaan malas mahu menulis. Muhammad Fahri lebih aku minati dari menulis di blog picisan ini😂

Tapi sayang juga jika tidak dicoret, takut nanti hilang ingatan pula😂 alah syahira, berpegang sahaja pada takdinya Allah. Usah lah terlalu khuatir.

Di usia 26 tahun, pencapaian yang paling membannggakan aku adalah punya seorang ulama’ kecil yang sangat memikat hati! Alhamdulillah thummalhamdulillah, qurratu ‘ayyun ibu dan abi. Muhammad Fahri nama nya, yang beerti kebanggaanku yang terpuji. Alhamdulillah thummalhamdulillah

Mungkin pada orang lain, pencapaian itu terletak pada pangkat dan harta. Pada ku juga begitu. Kerana kini pangkatku sudah diangkat asbab seorang ulama’ kecil, aku kini seorang ibu. Dan kini aku kaya alhamdulillah, dengan hartaku dunia akhirat. Yakni anak yang soleh. Moga Allah kurniakan soleh dan faqih dalam agama. Amin.

Bercerita soal anak tidak kan habis 40 hari 40 malam😂 kerana terrrrrrrrlalu banyak coretnya. Nanti bila aku rajin aku cerita lagi tentang Ulama' kecil kami.

So sebelum terlupa, aku masih lagi seorang syahira yang masih bekerja di kuala lumpur, masih tidak berjaya memujuk suami tercinta untuk pulang ke terengganu😝, dan alhamdulillah. Masih lagi diberi izin oleh Allah untuk berkhidmat kepada yang memerlukan.

Setiap hari aku berdepan dengan situasi yang hampir serupa, pesakit kanser yang datang dengan pelbagai latar belakang. Ada yang terlalu ceria dan positif dan ada yang hanya fikirkan mati. Untungnya aku, Allah hadirkan peringatan tentang mati setiap hari. Namun aku ini terlalulah kalah dengan dunia. Sering leka dan sering lupa. Moga Allah ampunkan aku.

Aku cemburu melihat orang yang bekerja dengan apa yang dia cinta. Satu hari, pernah aku mengadu kepada suamiku, F. Aku mengadu penatnya kerja, aku mengadu tentang ragam pesakit. Aku mengadu tentang ragam rakan rakan di tempat kerja. Usai aku mengomel itu ini hingg habis air liur, F menyambung,

“ jika tidak ikhlas, jangan buat. Jika nak buat, jangan complaint”
“ kita ni kerja bukan kerana manusia, tapi kerana Allah. Jadi kalau orang tak appreciate kita buat apa nak meradang, kita kerja bukan untuk dipuji. Allah kan ada. Buat 2 rakaat. Minta dengan Dia”

Terus aku terdiam. Aku pandang dia, dia pandang aku. Dan kitorang gelak. Sebab apa yang F cakap memang sangat betul walau kedengaran agak tidak bertapis. Aku sering sangat complaint yang orang orang kat office suka mengarah itu ini, tahu order sahaja. Padahal bukanlah dia boss. Tapi aku tetap buat juga apa yang disuruh. Kira macam, dalam hati memberontak konon. Padahal kecit oerut nak melawan.

F memang sudah tahu perangai aku. Yang tidak tahu kata tidak. Yang penakut bila berdepan dengan orang lain. Jadi, nasihat itu sangat aku sematkan dalam hati.
Dan kemudian, ada satu hari, seorang rakan satu office aku membebel cakap kerja banyaklah asyik dia je kena buatlah apalah, spontan aku cakap “ kak, kalau tak ikhlas takyah buat. Kalau nak buat jangan bising”

Terus semua mata pandang aku. Aku pun macam terkejut dan cuba pandang diri sendiri. Tiba tiba seorang doktor mencelah “ syira kau betul, nak buat takyah bising” 😂 mujur ada doktor azzah menyampuk.Kalau tak memang sangatlah awkward aku dah ready nak buat buat sawan ke pengsan 😂

So sampai sekarang aku pergi kerja, aku letak dalam diri, kerja mesti buat kerana Allah. Kalau tak, penat je dapat. Dan aku cuba untuk tak bawak balik semua masalah kat office. Alhamdulillah. Setakat hari ini, berjaya gantung semua masalah dekat pintu grill rumah. Okaylah, dah  penat menaip. Muhammad Fahri lena awal malam ni, pukul 8.30 dah lena. Penat sangat kat taska harini agaknya. Time to sleep! Bissmillah, bye myself!