Monday, December 09, 2019

Muhammad Fahri,selamat satu tahun sayang.

Selamat Satu Tahun, Muhammad Fahri.

Masih jelas di memori ibu. Saat saat melahirkan awak ke dunia ini. Sakit yang tak terucap. Air mata menjadi peneman. Allah saja yang tahu.

Seorang bayi lelaki, penghuni pertama rahim ibu, kini sudah berusia satu tahun. MashaAllah, hebatnya kuasa Allah. Dari kamu yang cuma sekecil itu kini kamu tidak kuat lagi untuk ibu ampu. Kamu anugerah Allah, yang Allah kirim untuk ibu dan abi cinta, untuk ibu dan abi didik. Hebatnya Allah Ya Kareem♥️

Muhammad Fahri,
Semoga Allah selalu kurniakan kesihatan yang baik buat kamu. Tidaklah tenang hati ibu saat kamu diuji sakit. 

Muhammad Fahri,
Ingatlah jasa abi, yang bersusah payah mencari rezeki, hanya untuk bahagiakan kita dengan kecukupan. Dan Maha Suci Allah, yang selalu memberi cukup untuk keluarga kecil kita. Alhamdulillah, thummalhamdulillah. Qanaah itu indah, bila kita saling merasa syukur.

Muhammad Fahri,
Terima kasih menjadi penyejuk hati ibu dan abi
Hingga saat ini, kamu anugerah Allah yang tiada kata mampu ibu ungkap bagaimana besarnya cinta ibu kepada kamu. 
Kelak nanti, bila kamu meniti usia remaja, saat ibu bukan lagi yang pertama buat kamu, ibu doakan semoga Allah selalu menjaga hati kamu, dari cinta akan dunia yang rapuh ini. 

Ketahuilah sayang,
Ibu dan abi mahu kamu sentiasa berpegang akan syariat Tuhan.
Jangan kamu lupa akan kalimah agung, 
Tiada Tuhan selain Allah, dan Muhammad pesuruh Allah.

Cintakan Allah dan RasulNya.
Cintakan Allah dan RasulNya.
Sepertimana kamu mahu dicintai. 

Ingat pesan ibu sayang,
Adab itu adalah kunci pada segala cabang ilmu
Ibu mahu kamu menjadi orang yang beradab, lebih tinggi adabmu nescaya Allah akan angkatkan darjat ilmu kamu sayang.

Persis Rasul junjungan. Yang peribadinya tidak tertanding seantero dunia. Akhlaknya yang terpuji, katanya yang sopan, menghormati hak orang lain, memilih untuk mendapat kebahgiaan di akhirat lebih dari apa yang ada di dunia. 

Semoga kamu mencontohi sifat yang indah, seindah peribadi Rasulullah SAW♥️

Amin-