Monday, May 11, 2020

Step in.

Im a human.
And i can improve a lot by doing mistake.
Bismillah♥️


Sunday, May 10, 2020

Tiada yang kekal

Tiada yang kekal.

Seperti hujan yang menyapu segala kotor yang membungkam. Juga salju yang memberi beku. 

Kita sekadar hidup hanya untuk Dia. Jika tertulis berjuta impian sekalipun, sandarannya tetap pada Tuhan Ya Rahman. 

Berlari seawal hari, mengejar rezeki di bumi Ya Razzaq, lalu pulang di petang hari, saat mentari lesu bersinar. Perginya penuh dengan hasrat di hati moga redha selalu terlukis, dan pulangnya penuh dengan rindu pada anak dan isteri. Indahnya nikmat yang Tuhan bagi. Tidak bertepi. 

Saban waktu, aku menghitung saat saat yang berdetik. Seolah hampa menguasai diri. Terasa benar lemah tiada mampu. Menjadi seorang isteri yang selalu gagal, menjadi seorang ibu yang penuh silap. Malam berlalu, dan pagi menjelma. Tiada yang berlaku persis yang aku mahu. Aku terlalu mengharap pada manusia. Sedang Allah yang mencipta tidak pernah aku bertanya mengapa.

Desir halus di sore hari, menjentik rasa yang sayu. Allah. Telah jauh aku berkelana di bumiMu. Tiada sedetik pun yang aku berterima kasih pada Mu atas segala ujian yang Kau hantar. Walhal, itulah tanda aku ini masih hamba. Jauh silap aku, banyak dosa yang memberat. Ampunkan aku ya Allah.

Aku mahu terbang tinggi. 
Aku mahu melaksana segala mimpi.
Aku mahu membelah langit dengan cinta.
Aku mahu memandang bumi dengan cinta pada Rabbi.

Terlalu tinggi cita yang aku tanam.
Pantas saja aku selalu kecewa.

Tuhan.
Pada apakah lagi harus aku bersandar jika bukan dengan cintaMu?

Sungguh aku tahu.
Segala resah yang hadir ini adalah rasa atas dosa yang ada.
Ampunkan aku Ya Ghaffur.

Jadikan aku syahira yang Kau cinta.
Jadikan aku syahira yang Kau redha.

Sungguh tiada yang kekal.
Dunia ini pinjaman cuma.
Aku ini sampai masa pergi jua.

Moga syahira dikurniakan kebaikan atas kehidupan yang sementara ini. Agar kelak di akhirat sana bisa dia bertemu dengan cinta yang Hakiki. Rabbul Izzah. Amin.

17 Ramadhan 1441H
Hujan.

Keramat.