Friday, August 20, 2021

Ha ya t.

 " sulit bagimu, tidak beerti sulit bagi Allah"


perjalanan hidup kita telah ditulis oleh Allah dengan cara yang paling indah. Mungkin ada antara kita yang rasa dirinya kurang bernasib baik, rasa serba serbi kurang, rasa payah menempuh ujian. Aku juga sama.

Perjalanan kita berbeza, tapi tujuan kita satu. iaitu Syurga yang Allah janjikan untuk hambaNya yang bertaqwa.

Aku tak pandai bermadah kata, tak pandai mengatur bait kata menjadi ayat untuk aku lafaz. Aku lebih banyak menyimpan dari meluah. Ada kala aku luah juga, tapi medium ku adalah air mata. Aku terlalu payah untuk mengkhabarkan kepada dunia betapa aku sedih. Cukup dengan senyumku dan ceritaku di laman sosial mengaburi mata insan lain.

Aku tahu, tiada manusia terlahir sempurna. Tiada orang yang tidak pernah berbuat silap. Aku harus membuka peluang untuk diri aku sendiri, untuk aku bertapak melihat dunia dari persepsi berbeza. Aku harus memberi ruang kepada diri aku untuk bernafas dengan penuh yakin di bumi Tuhan. Aku tahu, rezeki ku telahpun dicoret Tuhan untuk aku menghabiskan waktuku di sini, tapi tidak salah untuk aku bercita-cita. Tidak salah untuk aku bermimpi. Semuanya pun percuma :) 

Sedangkan si buta Allah hadiahkan celik hatinya, apatah lagi aku yang sempurna pancaindera. Pasti ada hasilnya jika aku benar berusaha.

Kini, aku mula berjinak jinak dengan dunia bisnes. Terasa mahu mencabar diri melakukan sesuatu yang jarang aku lakukan. Aku mula dengan menjadi 'dropship' produk orang lain. Dulu, aku cuba cuba jual coklat. Tapi terlalu sukar, mungkin kenalan aku tidak ramai, dan aku juga kurang pandai mempromosi. Dan kemudian, aku cuba lagi menjual barang barang bayi. Carseat, stroller, babycot dan banyak lagi. Alhamdulillah ada juga hasilnya, dan aku masih teruskan hingga kini. Cuma sekarang agak perlahan, mungkin kerana pandemik, jadi orang kurang membeli barangan. 

Tapi aku yakin, ada rezeki aku dalam bisnes. Selagi aku usaha. Aku nak sambung degree dengan hasil duit bisnes sampingan. Ya Allah, perkenankanlah ya Rabb. Amin.

Sekarang rasa seronok bila mula nampak hasil walau cuma Rm2. Hehe. Mensyukuri sekecil kecil perkara. Moga Allah redha🤍

Lama tak menulis. Terasa kekok bila go through balik blog ni, baca balik apa yang diri sendiri pernah menulis dulu. Begitu banyak yang berubah. 

Adui, mula la mata ni berkaca. Hahahaha apooo la syahira mudzaffar ni.

Sudah 28 tahun usia aku. Entah apa yang sudah aku capai dalam hidup. Kadang bila di usia ni, punya anak, punya pasangan hidup, impian dan cita cita terpaksa aku diamkan seketika. Rezeki belum ada. Nanti bila tiba masanya, anak anak dah besar sikit, moga Allah izin dan bukakan jalan untuk aku realisasikan impian dan cita cita aku.

Aku yakin, Tuhan selalu ada menemani setiap detik jantungku. Dia sedang menilai sejauh mana sabarku dalam menjalani hidup yang Dia kurniakan.

Segalanya adalah nikmat.

Meski hadir dalam bentuk tangis atau tawa. Semuanya adalah nikmat terindah.

Moga kelak, 

Allah menjemputku ke SyurgaNya, dengan salam penuh kemuliaan dari para malaikat

"Salamun 3laikum bima sobartum"

🤍

Perkenankanlah Ya Rabb.

Perkenankanlah.